Sunday, March 31, 2013

Pendidikan untuk anak-anak



Bagi mengejar cita-cita Khilafah Islamiah, ianya terhasil dengan adanya generasi Rabbani. Mendidik generasi kenal Tuhan ini seharusnya bermula dari individu, keluarga dan seterusnya menyebar luas ke dalam masyarakat. Hasil daripada masyarakat praktis islam terbinalah negara islam. Untuk mencapai semua itu,kita perlu bermula dari bawah. 

Peranan individu yang faham islam sangat penting dalam pembentukan keluarga islam. Didikan ibu bapa sangat berpengaruh dalam penbentukan dan tingkah-laku anak-anak. Anak-anak ibarat kain putih. Ibu bapalah yang mencorakkannya samada corak itu cantik sedap dipandang atau sebaliknya. 

Tujuan pendidikan untuk melahirkan manusia yang baik iaitu manusia yang baik akhlaknya. Salah satu cara mendidik anak yang boleh dicontohi ialah seperti yang diturunkan Allah dalam Surah Luqman ayat 13-19 iaitu mengenai nasihat Luqman al-Hakim kepada anak-anaknya. 

13. “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya semasa memberi nasihat kepadanya: Wahai anakku! Janganlah engkau sekutukan Allah, sesungguhnya syirik itu adalah satu kezaliman yang amat besar.”

Luqman Al-Hakim memulakan menasihati anaknya supaya jangan menyukutukan Allah dan jauhi syirik. Syirik adalah sesuatu kezaliman yang besar. Kenapa dikatakan zalim? Kerana zalim bermaksud tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Sama seperti syirik iaitu tidak meletakkan Allah di tempat sepatutnya . Perbuatan syirik itu dosa yang tidak dapat diampun seperti yang di tegaskan dalam firman Allah ayat 48, surah al-Nissa' :

“Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa syirik dan dia mengampuni segala dosa yang selain daripada itu…”

 Dua ayat seterusnya iaitu, Luqman al-Hakim juga menyarankan supaya berbuat baik kepada ibu bapa selagi mereka mengikut syariat Islam. Hal ini kerana ibu bapa adalah orang yang paling banyak berkorban dalam hidup kita terutamanya ibu yang sanggup mengandung selama 9  bulan dibawa ke sana kemari dan menyusukan kita untuk terus hidup.  Jasa pengorbanan Ibu bapa tidak dapat diganti dengan lainnya.

14. “Dan Kami telah perintahkan manusia supaya berbakti kepada dua orang tuanya. Dia telah dikandung ibunya yang mengalami kelemahan demi kelemahan dan masa lepas susunya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua ibu bapa engkau dan kepada-Ku tempat
kembali.”
15. “Dan jika mereka berdua mendesak engkau supaya mempersekutukan-Ku dengan sesuatu yang engkau tidak mengetahui, maka janganlah engkau ta’atkan kedua-duanya dan sahabatilah kedua mereka dengan baik di dunia ini, dan ikutilah jalan orang-orang yang kembali kepada-Ku, kemudian kepada-Kulah tempat kembali kamu dan Aku akan memberitahu kepada kamu segala perbuatan yang telah dilakukan kamu.”

Di ayat 14 dan 15 ini, Luqman juga mengatakan Allah adalah tempat kembali. Ayat ini menunjukkan bahawa walaupun ibu bapa harus ditaati tetapi yang lebih utama adalah Allah. Bersyukur kepada Allah kerana Allah pemberi segala nikmat.

16. “Wahai anakku! Sesungguhnya jika sesuatu amalan itu hanya seberat biji sawi dan sekalipun ia tersembunyi dalam batu atau berada di laut atau di bumi nescaya Allah akan memberinya (balasan). Sesungguhnya Allah Maha Halus dan Maha Pakar.”

Di ayat ini, Luqman Al-hakim menasihati agar berhati-hati dengan tindak tanduk samada yang zahir atau tersenbunyi. Hal ini kerana walau sebiji sawi kebaikan atau kejahatan yang dilakukan pasti Allah akan membalasnya. Niat untuk membuat sesuatu perlu sentiasa diperbaharui, sesungguhnya hati manusia sentiasa berbolak balik. 

17. “Wahai anakku! Dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) berbuat kebaikan dan larangkan mereka berbuat kemungkaran dan sabarlah di atas kesusahan yang menimpa engkau. Sesungguhnya yang sedemikian itu termasuk perkara yang penting.”

Ayat ini dimulakan dengan dirikan solat kerana solat adalah tiang agama dan boleh mencegah perkara mungkar. Seperti yang diterangkan dalam surah al-Ankabut ayat 45:

“Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah s.w.t. (solat) adalah lebih besar (keutaannya dari ibadat-ibadat yang lain).”

Sebelum menyaran orang lain berbuat baik dan meninggalkan yang mungkar, akhlak kita perlu dididik dengan solat terlebih dahulu. Sebelum turun dakwah kepada orang lain asas agama perlu diperkukuh dalam diri dahulu. Agak sukar untuk meneruskan sunah Rasulullah yang terbesar iaitu dakwah jika tiang agama dalam diri tidak kukuh. Tambahan lagi, Luqman al-Hakim turut perpesan tentang kesabaran. Dalam mengerjakan amar maaruf nahi mungkar yang pasti banyak ujiannya. Dengan itu Luqman menyaran agar bersabar dalam mengharung kesusahan dan kepayahan dijalan ini dan melakukannya dengan penuh keazaman.

18. “Dan janganlah engkau memalingkan wajah engkau dari manusia (kerana takbur) dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan lagak yang angkuh. Sesungguhnya Allah tidak sukakan sekalian orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.”

19. “Dan sederhanakanlah dalam gaya perjalananmu dan rendahkan suaramu. Sesungguhnya suara yang paling buruk ialah suara keldai.”

Di akhirnya, pelakuan sombong, takbur dan bangga diri adalah sifat yang Allah tidak suka. Kita juga disarankan berjalan dengan sederhana dan merendahkan suara. Ayat ini berkait dengan ayat sebelumnya iaitu tatacara dalam berdakwah iaitu adab dalam berdakwah. Sifat membandingkan diri dan memandang rendah orang lain akan menimbul sifat takbur dan bangga diri. Kita juga tidak tahu amalan yang mana akan diterima Allah. Berhati-hati dalam tingkah laku, takut-takut kita tergelincir di jalan yang pasti beronak duri ini. Berkejar-kejarlah dalam membuat kebaikan dan memberi manfaat kepada orang lain tanpa sifat sombong diri. Dalam menyebarkan keindahan islam pada orang lain, bertindaklah secara berhikmah supaya islam mudah diterima. 

Jika dilihat dari ayat 13 – 19 ini, Luqman al-Hakim memulakan wasiat ini dengan hubungan dengan Allah, seterusnya hubungan dengan ibu bapa dan akhir sekali hubungan dengan orang lain. Ini menujukkan hubungan dengan Allah perlu dijaga terlebih dahulu. Seterusnya menjaga hubungan dengan ibu bapa dah barulah dengan orang lain. Aliran ayat ini sangat cantik dan boleh dicontohi ketika membentuk objektif program.

Nasihat-nasihat ini harus disampaikan kepada anak-anak agar menjadi pegangan. Kita yang sememangnya seorang anak harus mengikuti nasihat ini. Kebiasaannya, ibu bapa akan bermula didikan ini sejak kecil dan cara terbaik adalah menunjukkan tauladan. Anak-anak akan lebih terpegaruh untuk membuat sesuatu apabila ibu bapa sendiri buat apa yang diperkatakan. Alhamdulillah saya dibesarkan dalam keluarga yang faham agama. Emak dan abah sentiasa menujukkan contoh terbaik kepada anak-anaknya.  Cara mereka melayan atuk nenek, cara mereka mendidik kami adik beradik, cara mereka bergaul dalam masyarakat adalah antara perkara yang dipandang anak-anak. Agak sukar untuk kami 9 orang adik beradik yang kebanyakkannya sudah punyai kerjaya masing-masing, sudah berkahwin dan mempunyai anak untuk kumpul bersama. Emak abah akan mengambil kesempatan membuat usrah bersama  apabila kami semua berada dirumah.  Wasiat Luqman al-Hakim ini juga pernah menjadi salah satu pengisian yang dibentang abah ketika didalam usrah tidak lama dahulu. Walaupun anak-anak sudah besar, abah tetap menyampaikan tanggungjawabnya. Ini menunjukkan bahawa mendidik anak-anak bukan hanya diwaktu kecil sahaja, malah perlu diteruskan walaupun anak-anak sudah punyai anak sendiri. 

Jika melihat situasi masyarakat sekarang, hasil daripada bertemu adik-adik sekolah ketika berprogram, pelbagai masalah sosial yang mereka dihadapi. Ini jelas menunjukkan generasi Rabbani perlu dibentuk. Siapa yang membentuknya? Adakah kita hanya melihat sahaja tembok dibina atau kita sendiri yang meletakkan batu bata untuk membina tembok? 

Setiap apa-apa yang diperkatakan pasti ada sahaja ujian yang menunggu. Semoga saya tabah hadapi ujian yang mendatang dan agar usaha kecil perkongsian ini memberi manfaat kepada orang lain.
Wallahu ‘alam

Rujukan:
Sayyid Qutb Rahimullah. 2000. Tafsir Fi Zilalil Qur’an. Ter. : Yusoff Zaky Hj
Yacob. Kota Bharu : Pustaka Aman Press.

No comments:

Post a Comment