Bagi mengejar cita-cita Khilafah Islamiah,
ianya terhasil dengan adanya generasi Rabbani. Mendidik generasi kenal Tuhan
ini seharusnya bermula dari individu, keluarga dan seterusnya menyebar luas ke dalam
masyarakat. Hasil daripada masyarakat praktis islam terbinalah negara islam.
Untuk mencapai semua itu,kita perlu bermula dari bawah.
Peranan individu yang faham islam sangat
penting dalam pembentukan keluarga islam. Didikan ibu bapa sangat berpengaruh
dalam penbentukan dan tingkah-laku anak-anak. Anak-anak ibarat kain putih. Ibu
bapalah yang mencorakkannya samada corak itu cantik sedap dipandang atau
sebaliknya.
Tujuan
pendidikan untuk melahirkan manusia yang baik iaitu manusia yang baik
akhlaknya. Salah satu cara mendidik anak yang boleh dicontohi ialah seperti
yang diturunkan Allah dalam Surah Luqman ayat 13-19 iaitu mengenai nasihat
Luqman al-Hakim kepada anak-anaknya.
13. “Dan
(ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya semasa memberi nasihat
kepadanya: Wahai anakku! Janganlah engkau sekutukan Allah, sesungguhnya syirik
itu adalah satu kezaliman yang amat besar.”
Luqman
Al-Hakim memulakan menasihati anaknya supaya jangan menyukutukan Allah dan
jauhi syirik. Syirik adalah sesuatu kezaliman yang besar. Kenapa dikatakan
zalim? Kerana zalim bermaksud tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Sama
seperti syirik iaitu tidak meletakkan Allah di tempat sepatutnya . Perbuatan
syirik itu dosa yang tidak dapat diampun seperti yang di tegaskan dalam firman
Allah ayat 48, surah al-Nissa' :
“Sesungguhnya Allah tidak mengampuni
dosa syirik dan dia mengampuni segala dosa yang selain daripada itu…”
Dua
ayat seterusnya iaitu, Luqman al-Hakim juga menyarankan supaya berbuat baik
kepada ibu bapa selagi mereka mengikut syariat Islam. Hal ini kerana ibu bapa
adalah orang yang paling banyak berkorban dalam hidup kita terutamanya ibu yang
sanggup mengandung selama 9 bulan dibawa
ke sana kemari dan menyusukan kita untuk terus hidup. Jasa pengorbanan Ibu bapa tidak dapat diganti
dengan lainnya.
14. “Dan
Kami telah perintahkan manusia supaya berbakti kepada dua orang tuanya. Dia
telah dikandung ibunya yang mengalami kelemahan demi kelemahan dan masa lepas
susunya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua ibu bapa engkau
dan kepada-Ku tempat
kembali.”
15. “Dan jika mereka berdua mendesak engkau
supaya mempersekutukan-Ku dengan sesuatu yang engkau tidak mengetahui, maka
janganlah engkau ta’atkan kedua-duanya dan sahabatilah kedua mereka dengan baik
di dunia ini, dan ikutilah jalan orang-orang yang kembali kepada-Ku, kemudian
kepada-Kulah tempat kembali kamu dan Aku akan memberitahu kepada kamu segala
perbuatan yang telah dilakukan kamu.”
Di ayat 14 dan 15 ini, Luqman juga mengatakan
Allah adalah tempat kembali. Ayat ini menunjukkan bahawa walaupun ibu bapa
harus ditaati tetapi yang lebih utama adalah Allah. Bersyukur kepada Allah
kerana Allah pemberi segala nikmat.
16. “Wahai
anakku! Sesungguhnya jika sesuatu amalan itu hanya seberat biji sawi dan
sekalipun ia tersembunyi dalam batu atau berada di laut atau di bumi nescaya
Allah akan memberinya (balasan). Sesungguhnya Allah Maha Halus dan Maha Pakar.”
Di ayat ini, Luqman Al-hakim menasihati agar
berhati-hati dengan tindak tanduk samada yang zahir atau tersenbunyi. Hal ini
kerana walau sebiji sawi kebaikan atau kejahatan yang dilakukan pasti Allah
akan membalasnya. Niat untuk membuat sesuatu perlu sentiasa diperbaharui,
sesungguhnya hati manusia sentiasa berbolak balik.
17. “Wahai
anakku! Dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) berbuat kebaikan dan larangkan
mereka berbuat kemungkaran dan sabarlah di atas kesusahan yang menimpa engkau.
Sesungguhnya yang sedemikian itu termasuk perkara yang penting.”
Ayat ini
dimulakan dengan dirikan solat kerana solat adalah tiang agama dan boleh
mencegah perkara mungkar. Seperti yang diterangkan dalam surah al-Ankabut ayat
45:
“Sesungguhnya solat itu mencegah dari
perbuatan keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah s.w.t. (solat)
adalah lebih besar (keutaannya dari ibadat-ibadat yang lain).”
Sebelum
menyaran orang lain berbuat baik dan meninggalkan yang mungkar, akhlak kita
perlu dididik dengan solat terlebih dahulu. Sebelum turun dakwah kepada orang
lain asas agama perlu diperkukuh dalam diri dahulu. Agak sukar untuk meneruskan
sunah Rasulullah yang terbesar iaitu dakwah jika tiang agama dalam diri tidak
kukuh. Tambahan lagi, Luqman al-Hakim turut perpesan tentang kesabaran. Dalam
mengerjakan amar maaruf nahi mungkar yang pasti banyak ujiannya. Dengan itu Luqman
menyaran agar bersabar dalam mengharung kesusahan dan kepayahan dijalan ini dan
melakukannya dengan penuh keazaman.
18. “Dan
janganlah engkau memalingkan wajah engkau dari manusia (kerana takbur) dan
janganlah engkau berjalan di bumi dengan lagak yang angkuh. Sesungguhnya Allah
tidak sukakan sekalian orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.”
19. “Dan
sederhanakanlah dalam gaya perjalananmu dan rendahkan suaramu. Sesungguhnya
suara yang paling buruk ialah suara keldai.”
Di akhirnya, pelakuan sombong, takbur dan
bangga diri adalah sifat yang Allah tidak suka. Kita juga disarankan berjalan
dengan sederhana dan merendahkan suara. Ayat ini berkait dengan ayat sebelumnya
iaitu tatacara dalam berdakwah iaitu adab dalam berdakwah. Sifat membandingkan
diri dan memandang rendah orang lain akan menimbul sifat takbur dan bangga
diri. Kita juga tidak tahu amalan yang mana akan diterima Allah. Berhati-hati dalam
tingkah laku, takut-takut kita tergelincir di jalan yang pasti beronak duri
ini. Berkejar-kejarlah dalam membuat kebaikan dan memberi manfaat kepada orang
lain tanpa sifat sombong diri. Dalam menyebarkan keindahan islam pada orang
lain, bertindaklah secara berhikmah supaya islam mudah diterima.
Jika dilihat dari ayat 13 – 19 ini, Luqman
al-Hakim memulakan wasiat ini dengan hubungan dengan Allah, seterusnya hubungan
dengan ibu bapa dan akhir sekali hubungan dengan orang lain. Ini menujukkan
hubungan dengan Allah perlu dijaga terlebih dahulu. Seterusnya menjaga hubungan
dengan ibu bapa dah barulah dengan orang lain. Aliran ayat ini sangat cantik
dan boleh dicontohi ketika membentuk objektif program.
Nasihat-nasihat ini harus disampaikan kepada
anak-anak agar menjadi pegangan. Kita yang sememangnya seorang anak harus
mengikuti nasihat ini. Kebiasaannya, ibu bapa akan bermula didikan ini sejak
kecil dan cara terbaik adalah menunjukkan tauladan. Anak-anak akan lebih
terpegaruh untuk membuat sesuatu apabila ibu bapa sendiri buat apa yang
diperkatakan. Alhamdulillah saya dibesarkan dalam keluarga yang faham agama. Emak
dan abah sentiasa menujukkan contoh terbaik kepada anak-anaknya. Cara mereka melayan atuk nenek, cara mereka
mendidik kami adik beradik, cara mereka bergaul dalam masyarakat adalah antara
perkara yang dipandang anak-anak. Agak sukar untuk kami 9 orang adik beradik yang
kebanyakkannya sudah punyai kerjaya masing-masing, sudah berkahwin dan
mempunyai anak untuk kumpul bersama. Emak abah akan mengambil kesempatan
membuat usrah bersama apabila kami semua
berada dirumah. Wasiat Luqman al-Hakim
ini juga pernah menjadi salah satu pengisian yang dibentang abah ketika didalam
usrah tidak lama dahulu. Walaupun anak-anak sudah besar, abah tetap
menyampaikan tanggungjawabnya. Ini menunjukkan bahawa mendidik anak-anak bukan
hanya diwaktu kecil sahaja, malah perlu diteruskan walaupun anak-anak sudah
punyai anak sendiri.
Jika melihat situasi masyarakat sekarang,
hasil daripada bertemu adik-adik sekolah ketika berprogram, pelbagai masalah
sosial yang mereka dihadapi. Ini jelas menunjukkan generasi Rabbani perlu
dibentuk. Siapa yang membentuknya? Adakah kita hanya melihat sahaja tembok
dibina atau kita sendiri yang meletakkan batu bata untuk membina tembok?
Setiap
apa-apa yang diperkatakan pasti ada sahaja ujian yang menunggu. Semoga saya
tabah hadapi ujian yang mendatang dan agar usaha kecil perkongsian ini memberi
manfaat kepada orang lain.
Wallahu ‘alam
Rujukan:
Sayyid
Qutb Rahimullah. 2000. Tafsir Fi Zilalil Qur’an. Ter. : Yusoff Zaky Hj
Yacob. Kota Bharu : Pustaka Aman Press.