Thursday, December 13, 2012

Mangsa yang dapat diselamatkan

Teringat perbualan dengan seorang adik di program sebelum ini. Seperti biasa perkara pertama apabila bertemu dengan adik-adik di program adalah taaruf. Ketika waktu rehat iaitu selepas sesi berkenalan, seorang adik tingkatan dua menegur saya.

"Akak, akak ambil kos mata ya?" adik ini memulakan bicara empat mata selepas mengetahui saya mengambil jurusan optometri ketika bertaaruf ramai-ramai di dalam bulatan sebelum ini.

"A'ah"jawab saya ringkas

"Akak mesti belajar iris, kornea, kanta?"adik itu bertanya

"Ya, akak belajar semua tu. Hebatnya awak tahu pasal mata!"saya teruja dengan pertanyaan adik tu.

"Saya tengah belajar organ mata dalam subjek sains, tapi saya hafal dalam bahasa melayu" terang adik itu.

"Owh, jadi awak hafal gelemaca, gelemair ?" Dalam bahasa Inggeris gelamaca adalah aqueous humor dan gelemair adalah viterous humor. Kedua-dua ini adalah bendalir yang ada dalam mata kita.

"Ya, saya hafal semua tu. Kalau kat kelas ada kawan tanya saya organ mata, saya cakap gelamaca gelemair kawan saya mesti pelik sebab diorang semua hafal guna bahasa Inggeris"

"Wah, bagusnya awak guna bahasa Melayu, sekarang PPSMI dah dimansuhkan, masih guna bahasa Inggeris ke di kelas?"saya baru teringat tentang pemansuhan PPSMI

"Masih boleh guna dua-dua bahasa.Dulu saya selalu dapat D subjek sains, sekarang saya selalu dapat B"bangga adik ini terangkan peningkatan pencapaiannya secara sukarela.

"wah bagus tu"

"saya bukan tak faham bahasa inggeris tapi susah nak hafal, kalau bahasa melayu senang sikit nak hafal"

"Ya, bahasa ibunda lagi dekat di hati.Bagus-bagus teruskan usaha. Subjek sains sangat seronok apabila kita dalami betul-betul. Sains adalah tanda kewujudan Allah.Makin banyak kita belajar sepatutnya makin kita dekat dengan Allah. Semoga awak dapat masuk Universiti Malaya jurusan kejuruteraan" nasib baik masih teringat lagi cita-cita adik ini ketika taaruf sebelum ini..


Alhamdulillah, salah seorang mangsa PPSMI dapat diselamatkan. Tidak semua orang pandai sains juga pandai bahasa. Diawal-awal taaruf lagi saya sudah kagum dengan adik ini apabila dia sudah ada matlamat nak masuk universiti apa walaupun baru tingkatan dua. Saya bangga adik ini menggunakan bahasa melayu.

#bahasamelayusayasudahtongganglanggangsejakmasukuiam
#1234

No comments:

Post a Comment