Saturday, December 29, 2012

Kalau Saya Mahasiswa

E-book yang menarik untuk dibaca..


Sebagai sebuah gerakan, mahasiswa/masyarakat sivil, malahan 
dalam apa bidang sekalipun, perlu mempunyai rukun perjuangan.
 Dalam hal ini, saya percaya, ia terdiri daripada tiga perkara, 
iaitu, idealisme, aktivisme dan intelektualisme. Perkara-
perkara ini banyak saya pelajari daripada bekas Presiden ABIM,
 Dr. Siddiq Fadhil.


Idealisme merujuk pegangan atau prinsip fundamental yang 
berasaskan dua perkara pokok. Pertama, kecintaan terhadap 
nilai yang muluk, mulia dan murni. Contohnya, kecintaan terhadap 
kebenaran, keadilan dan keharmonian. Manakala yang kedua ialah
kebencian terhadap unsur yang murah, muak dan mual, contohnya,
 kebencian terhadap kepalsuan, kezaliman dan kehuru-haraan. 
Ini diambil daripada ajaran Islam tentang berbuat makruf dan
 melarang kemungkaran.


Aktivisme pula ialah proses merealisasikan idealisme. Ini termasuk
 kebijaksanaan menerjemah idealisme agar menjadi langkah-langkah
 atau tindakan-tindakan yang praktikal. Di sini lahirnya hal ehwal
 perjuangan seperti kesukarelaan dan pengorbanan. Dalam 
Islam,ini ditandai oleh konsep berlumba-lumba 
berbuat kebajikan.


Manakala intelektualisme tidak merujuk menara gading. Sebaliknya, 
ia merujuk penghayatan budaya ilmu yang berasaskan tiga 
prinsipiaitu meletakkan ilmu dan ilmuwan 
ditempat tertinggi; setiap individu sentiasa menuntut, 
menyebar dan mengembangkan ilmu; dan setiap
keputusan dan tindakan dibuat berlandaskan ilmu.


Ketiga-tiga rukun ini perlu diamalkan secara bersepadu dan 
seimbang. Hanya memiliki idealisme dan aktivisme, tetapi tanpa
 intelektualisme, memungkinkan pemimpin mahasiswa/masyarakat
 sivil bersemangat dan rajin berbuat program, tetapi kerana 
tidak berbekal ilmu, maka ia tidak tahu bagaimana hendak 
menghasilkan kemajuan dan keberkesanan yang berganda. 
Hanya memiliki idealisme dan  intelektualisme pula, tetapi tanpa 
aktivisme, memungkinkan pemimpin mahasiswa/masyarakat sivil 
bersemangat dan cerdik, tetapi kerana tidak berbuat apa-apa, maka
 ia tidak akan menghasilkan sesuatu yang praktikal dan 
konkrit. Manakala hanya memiliki aktivisme dan intelektualisme, 
tetapi tanpa idealisme, memungkinkan pemimpin mahasiswa/
masyarakat sivil rajin dan cerdik, tetapi kerana tidak berprinsip,
 maka ia boleh dijual-beli.



Wah..ini selari dengan Misi IIUM Facilitator Team

Providing high quality training for human development based on Idealism, Intellectualism, Activism and Spiritualism
=)


No comments:

Post a Comment